Sabtu, 28 Februari 2009

Syabas! A.R Rahman


  • A.R Rahman (Allah Rakha Rahman) merupakan rakyat dan pemuzik India pertama memenangi 2 Oscar di malam 81st. Academy Awards, USA pada 22.02.09 yang lalu.
  • Beliau memenangi anugerah tersebut untuk "Best Score" untuk filem Slumdog Millionaire dan "Best Song" untuk lagu bertajuk "Jai Ho" dalam filem yang sama.
  • Selain itu, beliau pernah memenangi pelbagai anugerah, 27 kesemuanya seperti anugerah Golden Globes Award USA, Asian Film Awards, National Film Awards India dan banyak lagi.
  • Beliau juga dikenali sebagai salah seorang "All time top selling recording artists" kerana lebih dari 200 juta album beliau terjual diseluruh dunia.

Kate teman :

Syabas brader!

Tapi ape yang menarik perhatian teman tentang bintang hebat ini ialah minat beliau terhadap Sufisme atau ilmu suluk (tasawuf). Kate beliau "I'm a deeply spiritual person. Sufism is about love. Love for a fellow human. Love for all round humanity and ultimately love for God. For me, its where music and religion meet"

Khamis, 26 Februari 2009

Ikrar Seorang Pejuang


"Sasterawan Negara" Dato' A Samad Said berkata beliau akan tetap meneruskan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu biarpun gelaran Sasterawan Negara yang diberikan kerajaan ditarik balik.

Kata beliau "Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran tersebut asalkan bahasa Ibunda saya dikekalkan

Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah sasterawan rakyat yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu"

(Laporan : Harakah Daily 25.02.09)

Kate teman :

Bravo Pak Samad!

Memang benor le, penguasaan 2 atou 3 bahase asing tu penting untuk kite melayari masa depan dalam dunie yang global ini, tapi gunekan ler avenue lain untuk pendidikan itu.

Ape-ape pun. Bahasa Melayu adelah yang terutame demi bahase jiwe bangse

Isnin, 23 Februari 2009

Dato' Nizar!!!


Dari Matang Ke Lumut Kiri
Sampai di Pangkor berlabuh sauh
Jantan berani berpantang lari
Jantan tempat rakyat berteduh

Rupa gagah hati berani
Semangat cekal percaya diri
Kukuh berdiri di kaki sendiri
Menghadap lawan berpantang lari

Kuat menolong ikhlas memberi
Amalan banyak bertanam budi
Gagah menjadi payung negeri
Namamu harum kekal abadi

Kate teman:

Dari rakyat Tuan datang

Untuk rakyat Tuan berjuang
Selamat berjuang pendekar terbilang!

Sabtu, 21 Februari 2009

Amerika Yang Menakutkan!

  • Pakistan dan Taliban bersetuju Lembah Swat, Pakistan di tadbir oleh Taliban.
  • Wakil Khas Amerika Syarikat di Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke menyuarakan kebimbangan Amerika tentang persetujuan itu dengan alasan Taliban adalah pengganas dan golongan militan yang boleh mengancam Amerika.
  • Dua orang profesor, Thomas Gillespie dan John Agnew dari University of California Los Angeles (UCLA) di Amerika Syarikat mengemukakan teori bahawa Osama ben Laden berada di bandar Parachinar di pergunungan barat laut Pakistan.
  • Presiden Barack Hussein Obama pula menambah 17,000 lagi anggota tentera Amerika menjadikan jumlah tenteranya seramai 55,000 anggota untuk menumpas Taliban dan Osama.
Kate teman :

Sape yang ganeh le ni?

Pakistan dan Taliban udah mule nak berdamei bagi menstabilkan keadaan di negeri deme, tapi Obama pulak masih gile nak berperang! Sudahnye! yang menjadi mangse ade le oghang-oghang Islam Pakistan dan Afghanistan! Amerika peduli apa! Memang betui le Amerika ini amat menakutkan umat manusia di dunia ini.

Jumaat, 20 Februari 2009

Taiwan Menggamit Pelancung Islam


20.02.09. Taiwan merancang untuk menarik pelancong-pelancong Islam ke negara itu. Satu kempen akan dilancarkan oleh biro pelancungan "Taiwan Tourism Bureau" bagi memperluaskan pasaran pelancung Islam ke pulau tersebut.

Pada masa ini Taiwan mempunyai seramai 23 juta penduduk. 60,000 rakyatnya beragama Islam dan seramai 150,000 lagi adalah kaum pendatang Islam dari Indonesia, Malaysia, Thailand dll yang bekerja di negara tersebut.

Bagi memperkenalkan lagi Taiwan ke dunia Islam, pemerintahnya telah menggalakkan pengeluar dan pengekspot produk makanan halal di negara itu untuk memasarkan produk-produk mereka ke negara-negara Islam.

Kate teman :

Alhamdulillah. Negara-negara bukan Islam seperti Taiwan idak le terikut-ikut dengan kempen barat yang prejudis terhadap umat-umat Islam.

Allah Maha Besar!

Ahad, 15 Februari 2009

P59 - April 7 - Jawaban Siapa Pilihan Rakyat

Persaingan pilihan raya kecil Parlimen P59 - Bukit Gantang penting bagi BN dan PR kerana :-
  • Sebagai isyarat bahawa tindakan BN merampas pemerintahan negeri Perak daripada PR diterima pengundi Perak. Kalah bererti imej BN bertambah parah dan menang akan menyuntik kembali semangat mereka setelah tewas di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.
  • Sebagai isyarat bahawa perjuangan PR semakin terus diterima rakyat.
Apa yang menarik, apakah hati rakyat Perak yang terguris kerana pilihan mereka telah dinafikan untuk terus memerintah Perak dapat diubati? Yang pastinya, bukan senang untuk memenangi hati orang yang sudah terluka. Sama-samalah kita nantikan! April 7. 2009 untuk jawabannya!

Kate teman:

Bagi teman le, bior sape pun juge, oghang BN ke?, oghang PR ke,? MP teman tu mestilah ibarat:-
  • Kayu yang besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
  • Matahari itu, gunung dan lembah sama diterangi.
  • Rantau jauh diulangi, rantau dekat di cendana.
  • Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak.

Sabtu, 14 Februari 2009

Larangan Agama Yang Perlu Bijak Ditangani

Hukum meraikan Hari Memperingati Kekasih bagi umat Islam haram.

Namun bagi pasangan kekasih ia sebagai hari istimewa untuk meraikan kasih sayang mereka. Ia sudah menjadi trend dan budaya yang sudah lama diraikan. Seperti kata seorang anak muda "kami juga ingin merasai satu hari yang istimewa untuk diraikan bersama orang yang dicintai"

Ada pihak yang kononnya ingin mencegah kemungkaran, memburu anak-anak muda ini melalui "Ops Valentine" untuk ditangkap dan dibawa ke sessi kaunseling dan taubat. Memang hasratnya murni malangnya ada pihak-pihak termasuk ibu bapa yang menyelar tindakan sedemikian.

Dekad-dekad terdahulu, masyarakat kita tidak begitu terdedah kepada budaya popular barat. Tetapi hari ini kita berhadapan dengan dunia yang terbuka luas, pergaulan anak muda tidak dapat dihadang. Generasi muda Islam masa kini tidak sama dengan generasi Islam masa lalu. Ia sudah tentu mencabar pemimpin masyarakat dan pendakwah mencari jalan terbaik bagaimana dakwah boleh berjalan.

Hari ini dakwah dan dakyah amat bersaing, yang satu mengajak melakukan kemakrufan dan satu lagi menyediakan jalan kemungkaran. Strategi dakwah yang keras dan menghukum menyebabkan anak-anak muda kita celaru dan berontak. Dakwah yang lemah pula cair dengan dakyah yang halus.

Mungkin jika usaha dakwah dapat diolah dengan bijaksana ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap trend songsang ini. Hari ini pendekatan dakwah harus menyesuaikan diri dengan suasana masa kini. Kesimpulannya, kita harus pandai memilih "uslub" (pendekatan).

Kate teman:

Bab-bab gini idak le teman pandei tapi Apak teman ade le pesan kat teman mutiare kate ini:

Jadilah kamu ketika menyeru manusia
seperti pokok buah-buahan,
mereka membalingnya dengan batu
tapi dia menggugurkan buah kepada mereka

Al-Iman asy - Syahid Hassan al-Banna

Jumaat, 13 Februari 2009

Hebat! - MB Perak Pegang 8 Portfolio


YAB Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak memegang sehingga lapan portfolio?

Tapi, begitulah yang saya baca dalam akhbar Sinar Harian, Jumaat 13 Februari 2009 hari ini. Beliau dikatakan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Hasil Bumi, Pertanian, Perumahan dan Agama.

Persoalannya, mampukah MB Perak ini memikul dan melaksanakan tanggungjawab serta peranan semua portfolio tersebut? atau negeri Perak dah tiada lagi orang-orang yang berkemampuan untuk memikul tugas pentadbiran Kerajaan Perak?

Kalau Dr Zamry boleh melaksanakan tugas-tugas itu berseorang diri (one man show). Dia memang seorang yang hebat!

Kate teman:

Perak hebat! Oghang Perak hebat!
Jangan tak berjaye Yob! nanti oghang tolak mike teghojun laut Pangkor!

Leaders are best
When people barely know they exist
Not so good when people acclaim them
Worst when they despise them
But of a good leader, who talks little
When their work is done, their aim fulfilled
Their people will all say "We did this ourselves"
Lao Tse
Ancient Chinese Philosopher

Khamis, 12 Februari 2009

Kasih Allah

Sesungguhnya,
lelaki dan wanita yang muslim,
lelaki dan wanita yang mukmin,
lelaki dan wanita yang taat,
lelaki dan wanita yang benar,
lelaki dan wanita yang sabar,
lelaki dan wanita yang khusyuk,
lelaki dan wanita yang bersedekah,
lelaki dan wanita yang berpuasa,
lelaki dan wanita yang banyak mengingati Allah,
maka Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Ahzab : 35)

Isnin, 9 Februari 2009

Alahai Nasib Anak-Anak Islam Somalia

  • Sebuah lagi negara yang tak habis-habis bergolak dengan kancah peperangan seperti tiada akhirnya ialah Somalia. Ia terletak di pantai timur Afrika.
  • Somalia adalah sebuah negara Islam yang mempunyai 9,558,666 juta penduduk. Kadar pertumbuhan penduduknya sebanyak 2.8 peratus. Manakala jangka hayat penduduknya pula ialah 48.8 tahun dan kadar kenal-huruf sebanyak 38 peratus.
  • Kanak-kanak dibawah usia 14 tahun mewakili 44.7 peratus dari jumlah penduduk negara itu. Apa yang menyedihkan kita ialah masa depan anak-anak ini untuk hidup di sebuah negara yang aman, mempunyai pendidikan yang baik, bebas dari masalah kebuluran, jenayah dan pemberontakan.
  • Nampaknya Presiden Somalia yang baru dilantik pada 31.01.09 yang lalu, Sheikh Sharif Sheikh Ahmad, seorang ulama sederhana mempunyai tugas yang amat berat untuk memimpin negara ini terutamanya dalam usahanya untuk menamatkan perang saudara sesama Islam yang merugikan negara itu.
Kate teman:

Ate...Kalou nafsu dah beraje di hati. Tamak dan halobe dah menguasai diri, itu le jadinye...Teman ni idak le pandei, tapi ustaz teman yang selalu mengajor kat surou lepeih sembahyang maghrib ade le abor kat kami tentang ayat ini:

"Dan apabila kamu berselisih faham tentang sesuatu perkara, maka kembalilah merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat"
(An-Nisa : 59)

The Jedi will return...

Fear is the path to the dark side.
Fear leads to anger.
Anger leads to hate.
Hate leads to suffering!

Duka dan kecewa terhadap apa yang sedang bergolak di negeri Perak:
  • Apa yang dilakukan oleh UMNO/BN di Perak bertentangan dengan kehendak rakyat yang memilih PR untuk memerintah kerajaan negeri Perak menerusi PRU12, Mac 2008.
  • Apa yang dilakukan oleh PAS/PR menyeret masalah politik dengan demonstrasi dan tidak hormat kepada Raja Melayu Perak.
Sebenarnya, PAS janganlah terikut-ikut dengan UMNO yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu. Lihat apa yang mereka lakukan semasa krisis Perlembagaan 1983-1993 dan isu perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU12. Tanpa di sedari, perbuatan PAS mengikut cara UMNO itu hanya akan merendahkan darjat dan tarafnya. PAS adalah sebuah parti berlandaskan Islam yang mendokong nilai-nilai murni.

Dalam menerima ujian dan takdir yang berat, sifat kesopanan jangan dibelakangkan. PAS harus insaf, ia mampu berjaya dengan nilai-nilainya sendiri tanpa kehilangan keutuhan jiwa parti. Janganlah kerana inginkan untung secupak, rugi segantang. Mahu untung sekarung rugi pulak seguni. Rakyat tahu apa yang berlaku dan PAS perlu bersabar, biarkan rakyat menghukum UMNO bila sampai waktunya. "Every dog will have his day"

kate teman:

Yang semah ada helatnya
Yang bidan ada bangsanya
Yang rumah ada adatnya
Yang tepian ada bahasanya

Sabor! Sabor! Sabor Yob!
Doa orang yang dizalimi tiada berdinding!
Tunggu.... The Return of The Jedi!

Ahad, 8 Februari 2009

Dr. Aribert Heim - Kisahnya


Dr. Aribert Heim, penjenayah perang dunia ke II paling kejam dan dikehendaki rupanya selama ini bersembunyi di Mesir.

Berdekad-dekad lamanya pihak "NAZI hunters' memburu beliau tetapi tak berjaya. Baru-baru ini mereka telah menemui beg yang mengandungi barang-barang peribadi beliau dan mendapati selama ini beliau bersembunyi di Hotel Kasr El Madina, Kaherah sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1992.

Dr. Heim juga dikenali sebagai "Dr Death" kerana membuat kajian dan ujian perubatan ke atas orang yahudi secara hidup-hidup. Beliau mengeluarkan organ-organ mangsanya ketika masih hidup dan membiarkan mereka mati dimeja pembedahan.

Namun begitu, sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Tarek Hussein Farid.

Laporan ZDF Television, Germany

Kate teman:

Semoge Allah mengampunkan beliau.

Bagi kite pule, janganlah kite hendaknye menzalimi makhluk Tuhan, bior pun manusia atou binatang.

"Jauhi doa orang yang dizalimi,
walaupun ia adalah seorang yang kafir,
kerana doanya tidak terdinding"

Jumaat, 6 Februari 2009

Syabas Kerajaan Norway!


Oslo, Norway, 05.02.09. Kerajaan Norway telah membenarkan pegawai polis wanita beragama Islam memakai Hijabs (tudung) selaras dengan tuntutan agama berkenaan, kata Pengarah Polis Norway , Ingelin Killengren semalam.

Ia juga bagi melahirkan rasa persamaan hak dan semangat saling mempercayai dikalangan masyarakat Norwegian.

Peraturan seragam polis akan dipinda untuk membenarkan pemakaian tudung bersama seragam berkenaan.

Laporan UPI (United Press International)
Kate teman :

Alhamdulillah!

Syabas Kerajaan Norway!

Pesan Rasulullah
"Berpesan-pesan (supaya) berbuat baik kepada perempuan"
(h.r : Bukhari dan Muslim)

Khamis, 5 Februari 2009

Malangnya Menjadi Masyarakat Islam Rohingya

Masyarakat Rohingya merupakan kaum minoriti yang tinggal di wilayah utara "Rakhine State" di Myanmar (Burma). Majoritinya merupakan beragama Islam.

Mereka hidup tertindas dan hak asasi mereka dicabuli. Malah mereka dinafikan taraf kerakyatan oleh pemerintah Myanmar. Ramai diantara mereka melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Bangladesh dan Thailand.

Umpama lari dari mulut harimau dan masuk ke dalam mulut buaya, di Thailand, mereka ditangkap, dipukul dan diseksa sebelum dihalau ke lautan oleh tentera Thailand dalam bot-bot tanpa enjin, tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi serta hanyut tanpa haluan.

Baru-baru ini seramai 200 orang pelarian Rohingya ditemui oleh nelayan Indonesia. Seorang daripada mereka mendakwa mereka dipukul oleh tentera Thailand sebelum dihanyutkan di tengah lautan. 20 orang rakan mereka mati kerana kekurangan makanan dan minuman.

Bertambah malang lagi, apabila kerajaan Indonesia mahu menghantar mereka pulang ke Myanmar walaupun mereka mengadu takut untuk kembali ke negara mereka. Malah kerajaan Indonesia tidak menghiraukan rayuan UN Refugees and Independent Rights supaya menimbangi nasib pelarian Rohingya ini. Kerajaan Indonesia juga turut melarang pihak UN Refugee Agency dari menemui para pelarian. Kesihannya!

Kate teman :

Kerajaan Myanmar kejam! Kerajaan Thailand kejam! Kerajaan Indonesia kejam!

Selasa, 3 Februari 2009

UMNO Perak Cepat Cari Wow Factor!


Selepas kekalahan pada PRU12 yang lalu, kini UMNO Perak kalut dilanda penghijrahan wakil rakyatnya ke lain parti. Bermula dengan ADUN Bota ke PKR, dan kini dikatakan terdapat 2 atau 3 lagi wakil rakyatnya yang berhasrat untuk menyertai PKR.

Apa dah jadi dengan UMNO Perak? Mengapa ada wakil rakyatnya mengambil keputusan begitu? Apakah mereka rasakan UMNO Perak lesu dan tidak bermaya lagi?

Sebenarnya, UMNO Perak tidak boleh berlengah lagi atau menunggu selepas Mac'09 untuk berubah. UMNO Perak perlu cepat mencari wow factor (daya tarikan) jika mahu kembali mendapat sokongan, seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yasin, Naib Presiden UMNO "kita perlu ada wow factor supaya rakyat kembali kepada parti kita" Bertindaklah sekarang seperti yang dimahukan oleh orang Melayu Perak.

Kate teman:

Dah teghang lagi bersuluh, tunggu ape lagi Yop!

Isnin, 2 Februari 2009

Politik Ala Perak

Kecoh seluruh negeri Perak dengan adegan lompat-melompat parti oleh wakil-wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat bagi mewakili rakyat di negeri ini. Ia bermula dengan:-
  • Adegan ADUN Bota meninggalkan BN untuk menyertai PR.
  • Kemudian muncul adegan letak jawatan-nafi letak jawatan oleh ADUN Behrang dan Changkat Jering. Dikatakan mereka akan melompat dari PR ke BN.
  • Lepas itu timbul pula desas desus ADUN Jelapang nak keluar PR untuk menyertai BN tapi dinafikan oleh Pengerusi DAP Perak.
Kate teman:

Kodi bebenor le teman rase deme tu. Paseinye idak ke deme tu sedor? Kalo tak rakyat milih deme usah mimpi le jadi oghang besor! Udah tu pandei-pandei pulak nak lompat-lompat, nohen lak tu pade keme rakyat pemilih ni. Teman tenehok bebenor le! Nyeghogat pun ade!

Bior teman bagi pantun bior deme tu ade semangat pemimpin le sikit!

Hidup menjunjung tuah dan maruah
Baik di tepi mulia di tengah
Hati tak kecut dan tak singkat langkah
Barulah diingat pemimpin yang gagah

Hidup Erdogan!

31.01.09. Davos, Switzerland. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan memarahi Presiden Israel, Shimon Peres kerana mengganas di Genting Gaza dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF). Kata beliau kepada Peres "You kill people, you kill children"

Tindakan beliau mendapat sanjungan dan menjadi kebanggaan umat Islam di seluruh dunia kerana adanya seorang pemimpin negara Islam yang berani bersuara semasa ketiadaan suara berwibawa dari pemimpin Islam yang lain.

"Dari sudut politik tindakan Erdogan mungkin salah, tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel dan saya gembira Erdogan telah berbuat demikian" kata Mustafa Aydin, seorang tokoh tempatan di Istanbul, Turki.

Kate Teman :

Hidup Erdogan! Hidup Erdogan! Hidup Erdogan!

"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran
Hendaklah ia ubahi dengan tangannya.

Jika ia tidak berkuasa, ubahilah dengan lidahnya
Jika is tidak juga berkuasa, ubahilah dengan hatinya"
(h.r :Muslim)